ENGKAU BERAKAL, TETAPI ENGKAU "GILA"KAN DUNIA
Manusia telah dihadiahkan oleh Allah sebuah akal. Dengan akal ini, manusia dapat membezakan di antara baik dan buruk. Allah SWT telah memberitahu bahawa sekiranya manusia gagal menggunakan peranan akalnya yang sebenar, maka martabatnya lebih teruk daripada binatang. Manusia yang mempunyai akal ini juga lebih mulia daripada malaikat sepertimana Nabi SAW sendiri.
Tetapi, kebanyakan manusia gagal menggunakan hadiah yang diberikan oleh Allah ini. Setelah Allah menghadiahkan akal, tetapi manusia tetap gila, seolah-olah tidak berakal. Ya, manusia itu kebanyakannya gilakan dunia. Apakah dunia itu? Manusia gilakan harta yang sementara, sedangkan dia tahu harta itu tidak kekal. Tetapi dia masih gilakannya. Di manakah akalnya?
Manusia juga gilakan pangkat, sedangkan pangkat itu juga sementara. Tiada raja di dunia kekal menjadi raja selama-lamanya. Akhirnya raja itu tetap menjadi makanan cacing-cacing tanah. Tiada pangkat yang berkekalan, tetapi manusia masih gilakan pangkat, seolah-olah mereka tidak berakal. Di manakah akal mereka?
Manusia juga gilakan wanita. Mereka lupa untuk memilih wanita yang tinggi nilainya di sisi Allah. Mereka mengukur wanita itu dengan kecantikan, sedangkan kecantikan wanita itu sementara. Mereka gilakan kecantikan wanita, seolah-olah mereka tidak berakal. Di manakah akal mereka?
Manusia juga telah dikurniakan “remaja” supaya mereka memanfaatkan tempoh itu. Ini kerana tempoh remaja tidak kekal selama-lamanya. Mereka menjadi gila ketika remaja kerana menyangka umur remaja itu selama-lamanya. Di manakah akal mereka? Mereka menyangka tempoh remaja inilah mereka perlu menikmati kehidupan sepuas-puasnya, sedangkan itu adalah kelakuan orang yang tidak berakal, iaitu mereka yang gilakan dunia.
Inilah hakikat manusia. Walaupun diberikan akal, mereka gagal menggunakan akal tersebut sebaik mungkin, lalu mereka tergolong di kalangan orang yang gila. Mereka gilakan dunia yang sementara, sedangkan akhirat itu kekal selamanya. Mereka gilakan kecantikan wanita sedangkan iman itulah nilaiannya.
Manusia juga gilakan harta sedangkan taqwa itu adalah martabat kemuliaan seorang manusia. Apa guna kekayaan, sedangkan perut diisi dengan harta-harta haram? Sudah pasti seseorang yang sengaja menyumbatkan racun di dalam mulutnya dianggap sebagai gila. Begitu juga seseorang yang sengaja menyumbat perut mereka dengan harta-harta haram yang akan menjadi bahan bakaran mereka sendiri. Sudah pasti dikatakan gila.
Kebanyakan manusia yang gila ini, apabila diajak kepada kebenaran, mereka menolaknya. Itulah tanda-tanda seorang yang gila. Iaitu apabila seseorang cuba menyelamatkannya, dia tidak mahu, dan sengaja mencampakkan dirinya ke dalam neraka. Mereka lebih suka menjadi lebih hina daripada binatang kerana mereka mengejar sesuatu yang sementara.
Selamat bertanding untuk Pilihanraya PERUBATAN & Perubatan Cawangan Mansurah,nantikan Post seterusnya...
Salam Perjuangan...
1 comments:
aku yang gila ini tidak menyedari yang diriku ini gila....
Post a Comment