Wednesday, December 16, 2009

Ukhuwah Satu persoalan…..











Ukhuwah secara bahasanya bermaksud persaudaraan. Ku kenali istilah tersebut, seawalnya secara teori dan amali sewaktu bersekolah menengah kira-kira 8 tahun dahulu.


Ku kira ukhuwah adalah unsur penting bagi mengikat hati-hati sekumpulan manusia dalam mana-mana tempat dan keadaan. Apatah lagi ukhuwah menjadi rukun yang penting bagi organisasi gerakan Islam yang mengumpulkan pelbagai latar belakang dan ragam manusia serta CARA BERFIKIR untuk ditautkan hati-hati mereka di atas sesuatu isu atau keputusan.



Ukhuwah lah yang menjadi pemangkin yang membantu seseorang boleh berlapang dada dengan orang lain walaupun berbeza pendapat, di samping kefahaman yang selaras, peraturan organisasi, hukum-hakam serta akal yang sihat.



Dr.Yusuf Al-Qardawi ada menyebut di dalam bukunya yang berbunyi iaitu tentang Amal Jamai'e ialah keterikatan ukhuwah sesama kita ,kita berkasih kerna ALLAH , kita saling ziarah-menziarahi kerna ALLAH , kita duduk berbicara kerna ALLAH, kita saling berusaha kerna ALLAH dan kita saling bertukar pandangan kerna ALLAH di dalam masalah yang boleh dikongsi walaupun kita berlainan Jamaah.



Ukhuwah kadangkala mudah dan cepat suburnya dan adakalanya lambat dan sukar serta memerlukan masa yang panjang untuk bermujahadah. Pengalaman mengajar kita sedemikian. Kadangkala kita cepat mesra dengan seseorang yang baru sahaja dikenali dan dalam masa yang sama kita lambat mesra dengan orang yang telah lama kita kenali.



Ku kira bagi seorang muslim, perasaan ukhuwah yang disuburi dengan imanlah yang menyebabkan hati bersedih bilamana melihat kesengsaraan dan kezaliman yang menimpa umat Islam di Palestin baik, di Iraq serta di selatan Thai dan sebagainya, selain unsur manusiawi yang Allah jadikan dalam setiap diri manusia tanpa mengira kepercayaan atau kaum.



Sabda Nabi junjungan sallaHu ‘alaihi wasallam dalam perkara ini ada benarnya seperti maksud hadis di sini :

Ruh-ruh itu bagaikan satu batalion tentera ( junudul mujannadah). Mana-mana yang ia kenal ia akan masuk bersatu, dan mana-mana yang ia tidak kenal/serasi, ia tidak akan masuk bersatu




Ukhuwah, ku kira, termasuk dalam unsur ruh yang tidak dapat disukat dengan sukatan kasar atau fizikal. Namun kesannya boleh dilihat di alam nyata melalui kesungguhan atau komitmen dalam menjaga hubungan, cepat memberi respons dan organisasi yang lancar walau dengan arahan dan tunjuk ajar yang ringkas.

Ku kira tindakan sebegini, perlu juga diberi pujian. Namun dalam masa yang sama yang salah dan yang benar itu perlu dijelaskan secara jelas menurut adab-adab akhlak Islamiah supaya isu sebenar tidak dipesongkan atas alasan ‘menjaga ukhuwah




Oleh itu ukhuwah itu sendiri tegaknya dengan kefahaman yang benar pada sesuatu permasalahan.Ukhuwah itu suatu yang suci sesuci ingatan Junjungan mulia tehadap umat sewaktu maut hampir datang menjemput Baginda. Ia juga sesuci seperti sucinya tangan-tangan kaum muslimin yang sanggup mengangkat pedang terhadap kaum keluarganya sendiri yang masih musyrik sewaktu pertempuran dua golongan , golongan iman dan golongan syirik dalam Perang Badar.




Orang-orang yang menuturkan ukhuwah tidak ramai yang mampu menggalas beban ukhuwah dalam bentuk bergerak kerja dalam jamaah. Ada yang hanya mampu melihat bebanan sahabat melaksanakan sesuatu program tanpa merasa perlu meringankan beban sahabat tersebut walau sekadar kata-kata sokongan atau setinggi-tingginya meng’offer’kan diri menjadi AJK. Ku kira ujian ukhuwah berlaku di sini(dr sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara)




Ku kira juga ukhuwah yang hakiki tidak terbina dengan slogan-slogan yang boleh dihias dengan bunga-bunga bahasa sebagai tema suatu program. Ukhuwah yang hakiki ku kira, akan subur selama mana sahabat-sahabat yang pernah berukhuwah itu, menghubungkan dirinya pada tali Allah yang menjadi asas bermulanya persaudaraan mereka itu. Selama mana jarak dan masa memisahkan, ukhuwah takkan tergugat selagi berpegang pada asas yang pernah membina ukhuwah itu sendiri suatu ketika dahulu.



Kepada Allah kuserahkan segala urusan atas kelemahanku menanggung beban ukhuwah fiLlah yang diungkapkan di ruangan ini….



Keramatnya ukhuwah melangkaui hubungan darah, kasih sayang kerana Allah, tonggak kekuatan dalam jamaah. Digubah dengan acuan aqidah, tidak seorang pun dibiar gundah. Andai ditakdir rebah, seribu membahu gagah. Moga hatimu tabah menempuh segala mehnah.




Kita ada 1 sahaja HATI, Jika gembira, HATI itulah, Jika bertaqwa, HATI itulah, Jika beriman, HATI yang 1 itu juga, Jika bercinta, HATI itu juga, Jika terluka pun HATI nan 1 itu juga. Terlalu "1" utk banyak perkara.. MAKA., Jagalah HATImu & HATI orang yang Menyayangimu...




"Sangka Baik"


Semoga Ukhuwah FiLlah Subur Selamanya









0 comments:

  © Memacu survival Ummah 2008

Back to TOP