Kisah beribu tiri menyayatkan hati ini.
KUALA LUMPUR: Nasib beribu tiri. Itu kisah malang dialami dua beradik perempuan yang mendakwa saban hari dipukul ibu tiri menggunakan paip getah di rumah mereka di sebuah kuarters kerajaan di ibu negara tanpa alasan kukuh.
Difahamkan, wanita terbabit berkahwin dengan bapa mangsa pada 2002 dan dikurniakan lima cahaya mata.
Sejak memperoleh anak kandung, perwatakan wanita terbabit berubah dan sering memukul kedua-dua anak tirinya yang masing-masing berusia 15 dan 12 tahun.
Namun, penderitaan dua beradik terbabit berakhir Jumaat lalu apabila guru kelas seorang daripada mangsa menyedari perubahan sikapnya yang tiba-tiba menjadi murung.
Guru terbabit melakukan pemeriksaan sebelum menemui kesan lebam pada seluruh badan mangsa.
Mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan susulan. Mangsa yang berusia 15 tahun terpaksa ditahan di wad selama lima hari sebelum dibenarkan keluar petang semalam, manakala adiknya yang berusia 12 tahun yang turut mempunyai kesan lebam hanya dirawat sebagai pesakit luar.
Difahamkan, doktor yang merawat mangsa mengarahkan pihak pengurusan sekolah berkenaan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.
Mangsa dengan bantuan pihak sekolah menghubungi ibu kandungnya yang menetap di Tampoi, Johor, bagi memaklumkan kejadian itu.
Ibu kandung mangsa, Sarina Ali, 40, ketika dihubungi berkata, sejak berpisah dengan bekas suaminya lapan tahun lalu, kedua-dua anaknya itu tinggal bersama bapa mereka manakala anak sulungnya yang berusia 17 tahun tinggal bersamanya selepas dihalau ibu tirinya itu.
“Saya hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan anak kedua berusia 15 tahun yang tinggal bersama bekas suami.
“Dia (anak kedua) mendakwa ibu tirinya menggunakan getah paip setiap kali memukulnya tanpa mengetahui kesalahan dilakukannya. Malah, anak saya juga mendakwa sering diperlakukan seumpama itu sejak lima tahun lalu.
“Tidak cukup dengan itu, anak bongsu yang berusia 12 tahun juga menerima nasib sama,” katanya.
Dia berkata, perbuatan wanita terbabit menyebabkan kedua-dua anaknya kini dalam keadaan trauma.
“Saya membuat laporan ini (kepada polis) supaya pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap suspek. Malah, saya juga tidak akan teragak-agak menuntut semula hak penjagaan mereka di mahkamah.
“Lagipun, sekiranya mereka terus dibiarkan tinggal bersama ibu tirinya itu, ia akan memburukkan lagi keadaan.
“Malah, saya meminta bekas suami membenarkan kedua-dua mereka tinggal bersama saya,” katanya.
saya percaya bukan semua ibu tiri bersifat sedemikian rupa...
Jauhkanlah Kami daripada golongan yang zalim Ya ALLAH...
0 comments:
Post a Comment